Isnin, 26 September 2011

Semangat JUANG

Kita setiap kalinya berjuang untuk sesuatu yang lebih baik di dalam kehidupan. Sama ada dalam sedar atau separuh sedar atau di bawah sedar. Perjuangan itu tiada hentinya.Berjuang untuk menegakkan maruah agama, bangsa dan negara. Berjuang untuk menuntut keadilan. Berjuang dalam akademik atau kerjaya. Atau apa juga bentuk perjuangan yang menuntut pergorbanan samada masa, wang ringgit, maruah atau sekalipun dengan darah, memerlukan semangat. Oleh yang demikian semangat JUANG yang cuba diketengahkan memerlukan beberapa elemen, seperti berikut :-

J = JUARA
Merujuk kepada orang yang memenangi sesuatu di dalam pertandingan atau perlawanan. Dalam menentukan perjuangan untuk mencapai kemenangan, hendaklah kita berfikir seperti juara, memenuhi kriteria sebagai seorang juara. Dengan kata lain sentiasa berada di hadapan. Dalam istilah yang biasa digunakan oleh politikus ialah 'mendepani cabaran' atau seharusnya menjadi pemandu bukannya penumpang. . Bersemangat tinggi sentiasa. Paling penting istiqomah atau konsisten dalam perjuangan. Perlu disiplin yang tinggi. Ia tidak datang dengan mudah bak kata pepatah, yang bulat datang bergolek, yang pepeh datang melayang'.

U = USAHA
Merujuk kepada daya usaha yang dibuat untuk mencapai sesuatu, iaitu menjadi juara dalam setiap bidang. Dalam usaha itu memerlukan kita komited atau bersungguh-sungguh dan tidak ada masa untuk main-main. Kata orang masa kerja jangan main, masa main jangan main-main. Ada usaha memerlukan tenaga, wang ringgit dan juga masa, malah nyawa dan maruah, persoalannya sanggupkah kita? Jika kita tidak sanggup berkorban, sudah tentu matlamat menjadi juara itu tidak akan berjaya. Lihat sejauh mana usaha kita buat. Kalau setakat usaha setinggi rumput usah berangan mahu menggapai bintang tinggi di langit. Mesti gandakan usaha.

A = AZAM
Merujuk kepada kemahuan yang sangat kuat, memahami matlamat dan tujuan. Tidak hilang fokus dalam menentukan halatuju. Disiplin merupakan elemen yang perlu ada bersama. Tanpa disiplin, segalanya tidak ke mana. Azam ini perlu seiring antara minat dan semangat. Jika hanya minat sahaja ia tidak mencukupi tanpa semangat. Begitu juga sebaliknya. Seseorang yang minat berburu masuk ke hutan tanpa semangat, berbekal dengan senjata canggihpun belum tentu ia boleh bertahan lama di dalam belantara itu.

N = NEKAD
Merujuk kepada keras atau kuat kemahuan, tabah serta cekal hati dalam menghadapi kemungkinan. Tidak perasaan takut akan sesuatu cabaran. Tidak pedulikan apa-apa lagi bak kata pepatah, membujur lalu melintang patah. Setiap langkah diatur tidakkan undur meskipun nyawa menjadi taruhan demi mempertahankan maruah samada agama atau negara.

G = GAGAH
Perlu kepada kekuatan fizikal dan mental dalam menentukan tempat dalam pertandingan atau perlawanan. Persediaan yang rapi amat diperlukan. Ia diperoleh daripada latihan berterusan.  Tanpa dua kekuatan (mental dan fizikal) ini sudah pasti usaha akan terjejas. Tidak tahan dengan tekanan dan halangan dan mudah mengaku kalah. Ia sesuatu yang semua orang tidak inginkan dalam perjuangan

Berjuang mempertahankan maruah agama dan negara, tidak seperti bermain bola sepak. Ia boleh berakhir dalam tempoh masa sembilan puluh minit yang bakal menjarakkan kedudukan sama ada menjadi JUARA, seri dan kalah. Ia memerlukan usaha berterusan dan istiqomah serta menuntut komitmen yang tinggi.

Isnin, 19 September 2011

Sesekali Balik Kampung

Dah lama rupanya aku tak balik kampung. Walaupun belum mencapai 365 hari dalam hitungan hari setahun, tetapi memang itulah hakikat yang aku rasai. Pulang ke kampung bermakna pulang ke tempat asal, tempat aku dilahirkan, tempat tumpahnya darahku.

Pada hari raya beberapa minggu yang lalu, aku tak berkesempatan nak balik menjenguk kampung halaman. Ini kerana pada raya pertama aku bertugas. Sewaktu sanak-saudara, sahabat-handai dan seluruh masyarakat muslim menyambut raya bersama-sama aku beraya bersama rakan setugas. Tiada mengapa, itu bukanlah pengalaman pertama bagi aku yang terpaksa bertugas pada hari lebaran. Sudah kalis rasa sedih tu. Oleh kerana tiada ruang cuti maka terpaksa aku tangguhkan dulu. Berkali-kali aku menelefon ibu dan berkali-kali jugak aku mohon maaf kerana tak dapat bersama-sama menyambut raya dengannya.

Bukan aku tidak mahu pulang ke kampung sewaktu kelepasan tugas, tetapi memandangkan minggu-minggu pertama raya itu jalan-jalan di seluruh Kelantan ini masih sesak dengan perantau-perantau balik beraya, jadi aku buat keputusan aku enggan mengambil risiko untuk menyesakkan lagi keadaan, dan untuk terus berasa lebih lama di atas jalanraya. Khamis (dua tiga hari lepas) barulah aku berkesempatan untuk pulang ke kampung untuk menjenguk ibuku, selepas banyak perkara yang perlu diselesaikan. Sesekali terfikir jugak dalam benak, mengapa sekarang aku pulang ke kampung, dah dua minggu raya baru balik. Susah sangatkah nak bercuti? Atau aku sudah melupakan ibu dan seterusnya melupakan kampung halaman sendiri? Bila saudara-mara, sahabat-handai, atau orang kampung tanya apa yang patut aku jawab? Tidak sekali-kali aku melupakannya. 

Sepanjang jalan aku pulang aku dapat lihat sudah banyak perubahan, terutamanya secara fizikalnya. Kalau masa balik beberapa bulan dulu jalan masih dalam kerja-kerja pembinaan, dan sekarang sudahpun siap. Bukan main selesa lagi, luas dan lancar aje, taklah sangkut-sangkut dek kerana banya jalan rosak sebelum ini. Di kiri kanan pula dan banyak bangunan baru, tak kiralah kedai, bengkel atau rumah kediaman. Boleh kata sepanjang jalan tu taklah macam dulu kiri kanan dipenuhi  hutan dan semak. Kalau nak balik lewat jalan ini, biasanya aku tak berani untuk lebih daripada jam 9.00 malam. Bukan apa, bimbang takut ada haiwan yang melintas jalan nanti, atau mereka ni mengadakan roadblock kat tengah jalan. selain daripada itu bimbang jika kereta buat hal tengah-tengah hutan tu.

Inilah nikmat pembangunan agaknya. Pembangunan pun dah mula menganjak dari bandar ke desa. Ini semua untuk kesenangan dan keselesaan masyarakat jugak. Kalau dulu, nak makan ikan kena tunggu kereta api, nak beli sayur pun kena tunggu kereta api. Pendek kata semuanya berkait rapat dengan kereta api. Sekarang memang segalanya berubah.

Lewat saja kawasan sekolah, dah tak ade padang bola. Semuanya dah naik bangunan. Dah tak ada ruang untuk bebudak sekolah nak beriadah petang-petang. Apabila aku memasuki kawasan kampung, patutlah ramai bebudak belasan tahun bermain di padang, hampir semua aku tak kenal anak siapa. Rupanya itulah bebudak sekolah yang tak ada ruang untuk riadah, terpaksalah  berkongsi bersama dengan orang luar di padang majlis daerah. Di samping itu jugak, rupanya sudah ramai generasi baru lahir di sini kampung semenjak peninggalan aku sembilan belas tahun lalu. Ini bermakna sudah ramailah bilangan penduduk kampung. Dalam diam rupanya dah 19 tahun aku meninggalkan kampung untuk keluar mencari rezeki di luar (sekarang ni pun aku berada di Kelantan juga). Maknanya kalau pada masa itu masih bebudak ni masih bayi, hari ini sudah meningkat remaja pun mereka. Mungkin ada di antara mereka mengikut jejak abang-abang atau rakan-rakan dan berhijrah keluar dari kampung untuk mencari rezeki atau juga menyambung pelajaran (bermakna keluar dari kampung jugalah).

Yang sebaya dengan aku boleh bilang dengan jari aje dok main bola. Peringkat yang otai sikit ramai yang jadi penonton saja. Agaknya demo ni dah tak larat dah nak main lagi sebab dah masuk usia senja sebegini, atau penat kerja dari pagi tadi lagi. Bagi aku, bola sepak ni usah nak main, jadi penonton pun tak habih 90 minit, lepas tu ke tempat lain aku pergi. Petang itu, alhamdulillah aku selamat sampai ke rumah, setelah bertemu orang itu dan orang ini di sepanjang jalan masuk ke rumah tadi, kelihatan ibu sedang berdiri di muka pintu menyambut kepulangan anaknya yang tercinta. Setelah bersalaman dengan ibu, aku dapat merasakan ibu telah meniti usia emas kini, dah nampak tak laratnya dia, ini kerana aku sendiri pun sudah rasa ketuaan hehe..

Kesempatan yang ada sebelum maghrib, sempat aku keliling rumah melihat nostalgia tinggalkan arwah bapaku dulu. Di bawah rumah masih terdapat perahu usang yang telah reput di makan anai-anai. Teringat aku akan kehilangannya. Al-fatihah untuk ayahku. Selepas makan malam, aku bersembang dengan ibu, walaupun tak semeriah berbicara dengan arwah ayah, tapi ia tetap signifikan dalam hidup aku. Ibu sempat beri tahu dah ramai orang sebaya ayahku pergi menyahut panggilan Ilahi. Yang tinggalkan kini mereka dalam lingkungan 50-an, sudah tak ramai lagi pakcik-pakcik sewaktu aku budak dulu, yang tinggal cuma abang-abang saja. Akhirnya malam itu, berlalu sepi dan terus sepi, dan aku hanyut dalam mimpi entahkan indah entahkan ngeri dek kerana keletihan memandu siang tadi.

Keesokan paginya sempat juga aku menziarahi pusara baba aku yang telah lama meninggal (sekitar tahun 2000). Sempat juga aku melihat kawasan perkuburan itu telah mula sempit. Akhirnya aku terpaksa meninggalkan kampun laman untuk sekali lagi, entah bila pulang menjenguk. Pada waktu itu mungkin sekali lagi perubahan pasti berlaku. Selamat tinggal kampungku!

Sabtu, 9 Julai 2011

Burungpun Sayang Anak

Sebab takde keje sangat hari ini, aku ambik keputusan nak bersihkan halaman rumah sebab dah lama tak berbuat demikian. Sekurang-kurangnya ada la aktiviti. Semenjak dua menjak ni memang banyak keje la. Pergi situ pergi sini. Membersih kawasan rumah ni sebenarnya merupakan aktiviti hujung minggu aku. Suatu ketika dulu, masa mula-mula duduk di rumah ini adalah lebihan bata selepas ubahsuai rumah, aku ada buat petak  sambil-sambil belajar mengikat bata di rusuk rumah dengan harapan dapatlah aku maksimakan ruang tanah yang sempit itu dengan aktiviti bercucuk tanam. Sekurang-kurangnya tidaklah aku membeli sesuatu yang dikira mudah dan senang ditanam tanpa penjagaan yang rapi

Setelah beberapa lama terbiar di situ. Lengkuas yang aku tanam dahpun meluas perdunya. Di samping itu juga aku ada tanam seperdu kantan, dengan harapan mudah dapatkan bunga jika mahu makan nasi ulam. Selain itu ada la juga pokok kunyit, lada yang nampaknya kurang subur akibat dinaungi pokok kantan dan lengkuas.Sedang asyik membersih kawasan itu, baru aku perasan suara burung semakin kuat apabila aku hampir kepada perdu kantan. Pada mulanya aku tidak mengsyaki apa-apa, mungkin sekadar ia sedang mencari makanan di sekitar itu. Rupanya pada sebatang pokok kantan itu burung itu bersarang. Dalam keriuhan dia memarahi aku, sempat jugak aku mengintai ke dalam sarang burung itu dan mendapati ada tiga ekor anak, diam sahaja di dalamnya. Ibu burung yang di luar tiada henti-henti bersuara. Kecoh betul dibuatnya, kadang-kadang naik bingit telinga dibuatnya.

Baru aku sedar rupanya si ibu sedang memberitahu anaknya mungkin tentang kehadiran musuh berhampiran sarangnya. Sedikitpun anak-anaknya tidak bersuara atau bergerak. Aku hanya melihat sahaja gelagat burung itu yang amat sayangkan anaknya.

Betapa sayangnya burung itu pada anaknya.Tidak seperti sesetengah manusia, dianugerah anak pun sanggup buang macam sampah. Tengok dan baca sahaja dalam paper, macam-macam ada. Ada dibuang hidup-hidup ada pula yang dah mati, ada yang sempurna dan ada pula yang tak sempurna. Inilah ragam manusia zaman moden. Kalaulah manusia ini dapat belajar sesuatu daripada ibu burung ini, patutnya dia berasa malu. Haiwan lebih sayangkan anak dari manusia. Pada petang itu, aku melihat tiga ekor anak burung ini belajar terbang sambil diawasi oleh kedua-dua ibu dan bapanya. Kemudian selepas itu, aku menarik nafas lega kerana mengambil masa tepat untuk membersihkan halaman rumah. Jika aku terlalu awal, aku tak mampu melihat satu generasi baru sedang menerokai dunia penuh pancaroba ini. Setidak-tidanya aku tidak menjadi sebahagian manusia yang aku maksudkan itu!